Sentiasa Berbuat Betul

by | Feb 26, 2024 | Berita Semasa | 0 comments

Penulis terkemuka British, Clive Staples Lewis menyatakan ‘’Integrity is doing the right thing even when no one is watching,” (Integriti adalah melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang memerhatikan kita).

Namun dalam Islam, melakukan kebaikan tanpa pengetahuan orang lain itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sejak kecil lagi umat Islam diajar bahawa Allah SWT itu Maha Melihat (al-Basar) dan Maha Mengetahui (al-Alim) apa jua yang dilakukan malah apa yang terlintas dalam fikiran.

Malah, Islam menekankan integriti dalam segenap aspek kehidupan manusia melalui nilai-nilai amanah, jujur dan istiqamah dalam menjaga kepentingan umum tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

Warga kerja yang menjulang integriti pasti akan menghasilkan perkhidmatan yang efisien atau produk yang berkualiti, justeru meningkatkan prestasi dan kecemerlangan organisasi lantas memperhebat daya saing ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebaliknya, sifat-sifat negatif seperti tidak amanah, khianat, memberi atau menerima rasuah, mencuri tulang dan menipu bukan sahaja mencalarkan imej peribadi atau keluarga, bahkan boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah organisasi.

Integriti menuntut keberanian serta kecekalan hati dan minda.

Tepuklah dada tanyalah selera.