Ibarat orang lapar, diberi nasi.
Bagai pucuk dicita, ulam mendatang.
Laksana orang mengantuk, disorongkan bantal.
Hasrat ribuan warga kerja TNB yang berazam untuk ‘menguruskan’ badan kalau tidak pun mencapai berat badan ideal seperti dipermudahkan, dengan adanya program TNB Biggest Loser.Program yang masuk edisi ke-7 ini menyaksikan 1,957 warga kerja dari segenap Semenanjung bersaing untuk diangkat sebagai juara mengurangkan berat badan secara sihat.
Cabaran itu perlu dilaksanakan oleh para peserta dalam tempoh empat (4) bulan, dari 1 Disember 2023 hingga 31 Mac 2024. Program anjuran Kelab Kilat Kebangsaan dengan dukungan seluruh Kelab Kilat Tempatan ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja, sejajar aspirasi syarikat untuk melahirkan warga kerja yang sihat, cergas dan cerdas. Mengikut format pertandingan, para peserta yang berjaya mengurangkan berat badan paling banyak (meliputi semua Kelab Kilat Tempatan), akan bersaing di peringkat Kebangsaan untuk merebut hadiah wang tunai RM2,000 sebagai juara.
- Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua ahli Kelab Kilat.
- Pemenang ditentukan berdasarkan peratusan penurunan berat badan tertinggi dalam tempoh pertandingan.
- Timbangan berat badan dinilai dan diperiksa oleh wakil Kelab Kilat Tempatan masing-masing.
- Penurunan berat badan bukanlah akibat masalah kesihatan atau faktor mengandung.